Selama bertahun-tahun sarjana sosiolinguistik telah mempelajari keterkaitan penggunaan bahasa dan gender. Bahasa bukan sekedar diucap atau ditulis. Ianya membawa implikasi sosial terhadap penggunaannya.
Dale Spender (1993) mengatakan bahawa bahasa membentuk realiti. Mengapa demikian? Ianya kerana masyarakat menjalankan dan menyusun dunia berdasarkan katagori yang dibentuk oleh bahasa. Kita ambil contoh sederhana, dalam bahasa terdapat dikotomi “wanita lemah” dan “wanita kuat”. Selanjutnya dalam praktik sehari-hari, kita akan berusaha mencari-cari apakah ciri-ciri “wanita baik” dan apakah ciri-ciri “wanita jahat”.
Selanjutnya Spender mengungkapkan bahawa wanita terperangkap dalam bahasa dan pada masa sama wanita juga tersingkir daripada bahasa yang merupakan “buatan lelaki”. Implikasinya, secara linguistik wanita menjadi tidak tampak (invisible), manakala lelaki semakin tampak (visible). Di samping itu, bahasa ciptaan lelaki ini mengekalkan pembahagian kumpulan ke atas dua, iaitu dominan (lelaki) dan kumpulan yang didiamkan (muted group), iaitu wanita. Sebagai contoh, perkataan “chairman”, man merujuk kepada lelaki, dan ini menimbulkan persepsi bahawa pekerjaan berkenaan kepengerusian (chairmanship) hanya untuk lelaki, sementara wanita tidak berhak menjabatnya. Namun sekarang terdapat perkataan lain untuk menggantikannya, iaitu chairperson, dengan pertimbangan bahawa terdapat sejumlah wanita yang telahpun masuk dalam pekerjaan chairpersonship ini. Ianya dibuat demikian kerana berdasarkan konsep persamaan gender (gender equality).
Implikasi seterusnya daripada penggunaan bahasa dan kaitannya dengan gender iaitu adanya ketidakseimbangan bahasa antara lelaki dan wanita. Sarjana Sosiolinguistik Indonesia, Sumarsono dan Partana (2002:105) pernah mengadakan penyelidikan di Kepulauan Antilen Kecil, Hindia Barat, dan mereka menemukan kenyataan bahawa bahasa yang digunakan oleh wanita berbeza dengan bahasa yang digunakan lelaki. Dalam pada itu, terdapat sejumlah perkataan dan frasa yang hanya boleh disebutkan oleh lelaki tetapi tidak boleh disebut oleh wanita. sebaliknya, ada kosa kata tertentu yang hanya “milik” perempuan yang mana lelaki tidak boleh mengucapkannya walaupun mengetahui maknanya. Inilah yang dinamakan “tabu dalam bahasa”.
Kes lain ditemui di Zulu, Afrika, di mana seorang isteri tidak boleh menyebut nama mertua lelaki atau saudara lelaki mertua tersebut. Jika seorang menantu itu didapati menyebut nama mertua lelaki, dia akan dibunuh. Ini menunjukkan bahawa bagi masyarakat Zulu, ada kosa kata tertentu yang “haram” disebutkan oleh kaum wanitanya. Bahkan, larangan atau tabu ini juga ada pada bunyi-bunyi bahasa. Para wanita tidak dibenarkan membunyikan huruf “Z” sehingga untuk kata amanzi (air) diucapkan amandabi. Namun, bagi para lelaki, dibolehkan membunyikan “Z”. dari sini tampak bahawa wanita juga didiskriminasi oleh bahasa.
Dua contoh di atas merupakan ketidakseimbangan penggunaan bahasa dari segi penggunanya. Namun, terdapat juga ketidakseimbangan bahasa dari segi ketersediaan (availability) bahasa itu merujuk kepada aktiviti yang sama dilakukan oleh lelaki dan wanita. Sebagai contoh, dalam Bahasa Indonesia (juga Bahasa Melayu) terdapat perkataan “pelacur”, “lonte”, “perempuan murahan” ditujukan kepada wanita merujuk kepada aktiviti “khidmat seks”. Manakala bagi lelaki tidak terdapat satu perkataan pun untuk merujuk kepada lelaki yang menyediakan khidmat seks. Perkataan-perkataan “pelacur” dan “wanita murahan” bagi sebahagian besar masayarakat akan secara langsung memaknainya sebagai sesuatu yang negatif sehingga meninggalkan kesan negatif pula terhadap imej wanita dalam fikiran masyarakat.
Kita ambil contoh dalam bahasa Inggeris, penggunaan perkataan “prostitute”, “escort”, “whore” dan “hooker” merujuk kepada aktiviti “khidmat seks” yang dilakukan oleh wanita di mana wanita berada pada posisi “menjual” tubuh kepada lelaki yang membayarnya. Bagi lelaki pula tidak terdapat perkataan untuk merujuk kepada aktiviti tersebut selain perkataan “rent boy” yang merujuk kepada lelaki jual seks kepada lelaki lain dan “toy boy” yang merujuk kepada lelaki muda yang jual seks kepada perempuan yang lebih tua darinya. Pada praktiknya, penggunaan perkataan “prostitute”, “whore”, “escort” dan “hooker” adalah tabu dan sangat tidak sopan untuk diucap kerana makna negatif yang dikandungnya. Namun perkataan “rent boy” dan “toy boy” tidaklah senegatif empat perkataan di atas oleh sebab itu ianya boleh diucap sebagi humour sahaja.
Di samping itu, dalam mempelajari ilmu bahasa, terdapat tiga cabang ilmu bahasa yang digunakan untuk menjelaskan satu perkataan. Tiga cabang bahasa itu ialah syntactic (susunan grammar), semantic (makna), dan semiotic (simbol). Ada sesetengah pihak menggunakan bahasa sebagai simbol sahaja walaupun ia tahu maknanya. Ada sebahagian orang betul-betul memperhatikan makna dari sebuah perkataan tersebut. Sebagai contoh perkataan cougar (harimau gunung) yang di-label-kan kepada wanita tua yang suka/menikahi lelaki lebih muda. Bagi orang yang me-label-nya, mereka hanya menyifatkan cougar sebagai simbol untuk wanita yang seperti itu kerana kekuatan/kegarangan wanita tersebut yang mampu “membeli” lelaki lebih muda. Ianya kerana mereka melihatnya dari segi semiotik sahaja. Namun bagi orang yang mengkaji/melihat dari segi semantik, mereka akan kurang bersetuju terhadap penggunaan cougar untuk wanita-wanita seperti itu. Ianya kerana dari segi makna, cougar merupakan binatang buas, ganas, dan tidak berperasaan. Mereka menyifatkan manusia sebagai makhluk yang lebih tinggi darjahnya mengapa perlu disamakan dengan binatang yang darjahnya lebih rendah. Hal ini secara tidak langsung telah menjatuhkan imej wanita kerana sebahagian besar masyarakat akan melihatnya dari segi makna dan bukan sebagai simbol. Wanita yang suka lelaki muda mungkin berbuat demikian kerana orientasi seksnya sebegitu atau mereka punya alasan lain dan bukan kerana mereka ganas atau kuat.
Daripada pembahasan panjang tadi, dapat disimpulkan bahawa penggunaan bahasa membawa implikasi sosial terutama jika dikaitkan dengan gender. Implikasi sosial itu dapat berupa pembentukan realiti melalui bahasa. Penggunaan bahasa yang merupakan “buatan lelaki” juga dapat menempatkan wanita dalam keadaan invisible (tidak tampak). Selain itu, terdapatnya ketidakseimbangan penggunaan bahasa antara lelaki dan wanita boleh membawa implikasi sosial yang berujung kepada diskriminasi wanita. Yang terakhir, penggunaan bahasa yang dilihat dari segi semiotik (simbol) berbeza dengan penggunaan bahasa yang dilihat dari segi semantik (makna). Oleh kerana masyarakat lebih melihat kepada makna, perkataan-perkataan yang disimbolkan sering membawa persepsi negatif pada masayarakat luas.
0 comments:
Post a Comment